KUALA LUMPUR: Penyampai radio dan pelawak, Shuib menafikan dakwaan kononnya dia telah menarik diri daripada kumpulan lawak Sepahtu.

Menurut Shuib, sepengetahuannya, dia tidak pernah keluar apa-apa kenyataan berkenaan hal itu dan berpendapat, itu hanya anggapan netizen semata-mata.

“Sepah dan Sepahtu merupakan kumpulan lawak yang naikkan nama saya serta memberi rezeki kepada saya.

“Untuk program Sepahtu Reunion saya telah bermain hampir lima tahun dengan lebih 100 episod.

“Dakwaan kata saya keluar daripada Sepahtu saya rasa kurang tepat kerana saya masih berhubung dengan mereka seperti biasa,” jelas Shuib pada sidang media program baharu, Ubi Superstar di ibu negara.

Dalam masa sama, Shuib turut menafikan dia merajuk dengan kumpulan itu dan memerlukan masa untuk kembali dalam program Sepahtu Reunion Live.

“Keputusan saya untuk sertai program Ubi Superstar adalah untuk mencari angin baharu dan kawan-kawan baharu.

“Saya lihat potensi program ini ke arah lebih positif kerana saya yakin penglibatan ahli kumpulannya seperti Fad, Sharif dan Sharif mampu memberi idea yang segar.

“Mengenai penglibatan saya semula ke Sepahtu Reunion Live, saya perlukan masa dan tidak meletakkan apa-apa sasaran mahu pun tempoh,” ujarnya.

Program baharu Ubi Superstar akan mula bersiaran pada 23 Februari ini pukul 9 malam di saluran Astro Warna.

Ia bersiaran selama empat episod setiap minggu yang turut menampilkan cameo yang tidak diketahui oleh mereka.